Pahang Rangers terus membuktikan kejaguhan apabila muncul juara Piala Futsal Malaysia 2023 setelah menundukkan seteru utama, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah aksi sebenar 50 minit terikat 4-4.

Kemenangan pada aksi penuh dramatik itu sekali gus menjadikan Pahang Rangers selaku juara berganda selepas anak buah Gerard Casas Ulestre itu sebelum ini menjulang trofi liga.

Ini bermakna dua kali Pahang Rangers meranapkan impian JDT untuk bergelar juara pada penampilan sulung mereka dalam kancah liga futsal profesional negara.

JDT bagaimanapun tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila percubaan Ekmal Shahrin selepas melepasi kawalan dua pemain Pahang Rangers tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Zainul Zahin Sinuan pada minit kedua.

Pahang Rangers kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-17 setelah Ridzwan Bakri dengan bersahaja melakukan kuisan hasil ‘setpiece’ kemas dijelmakan.

JDT terlepas peluang untuk menambah jaringan kedua berselang seminit kemudian apabila sepakan penalti kedua (second spot) Abu Haniffa Hassan sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang Rangers.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Aksi lebih menarik pada babak kedua dengan tambahan empat jaringan masing-masing dua gol buat setiap pasukan.

Ia bermula dengan jaringan kedua oleh Ekmal Shahrin berikutan kesilapan Sergio Jamur pada minit ke-23 dan kemudiannya Azwann Ismail menjadikan kedudukan 3-1 ketika aksi memasuki minit ke-36.

Tersentak dengan ketinggalan dua gol, Gerard Casas memperjudikan nasib pasukannya dengan menggunakan taktikal ‘power play’.

Ternyata perjudian itu membuahkan hasil selepas Saad Sani tertampan bola ke dalam gawang sendiri dan Ridzwan Bakri pula menolak masuk bola setelah menerima hantaran Amin Nasrollah pada minit ke-39.

Sergio Jamur terlepas peluang untuk terlebih awal mengesahkan kemenangan buat pasukannya setelah sepakan penalti kedua oleh beliau pada lewat permainan diselamatkan Aiman Zikry di gawang JDT.

Keadaan itu memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan yang menyaksikan Jamur dan Awalluddin Mat Nawi menjadikan kedudukan 4-4 untuk pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Zainul Zahin jelas menjadi wira buat pasukannya apabila beliau menafikan sepakan Firdaus Ambiah dan Azwann Ismail manakala Ahmad Harith Nai’im tidak melepaskan peluang untuk memastikan gelaran juara menjadi milik Pahang Rangers.

Sepakan penalti:

JDT

1) Firdaus Ambiah – Diselamatkan Zainul Zahin Sinuan

2) Tanatul Tadavirot – Gol

3) Saad Sani – Terkena tiang gol

4) Azwann Ismail – Diselamatkan Zainul Zahin Sinuan

Pahang Rangers

1) Sergio Jamur – Gol

2) Amin Nasrollah Zadeh – Terkena tiang gol

3) Akmarulnizam Idris – Gol

4) Ahmad Harith Na’im – Gol